Diari : Kasih ayah tiada taranya...

By farhan ali on 2:50 AM

Filed Under:


Dalam hati saya, imej ayah adalah seorang yang selalu serius, garang dan tegas. Pendiam, kot. Bukannya saya tak pernah tengok ayah ketawa. Bukannya saya tak pernah tengok ayah meluangkan masa bermain badminton dengan anak- anaknya. Bukanlah ayah tak pernah bergurau dan mengusik saya. Bukanlah ayah tak pernah berkongsi makanan dengan saya. Bukan ayah tak pernah menyediakan makanan kegemaran saya tiap kali saya pulang ke rumah. Bukannya ayah tidak tahu warna kegemaran saya, bahkan siap membelikan ole- ole dengan warna tersebut setiap kali keluar outstation tak kira luar negeri atau luar negara. Tapi masih imej ayah yang sebegitu jugalah yang terlakar di hati tak berubah, dari dulu sampai sekarang.

Lalu bila sebulan yang lepas, suatu hari kakak- kakak mengusik saya, ketika kami semua masing- masing sudah mencecah usia awal 20-an dan menghabiskan masa bertiga selepas hampir 10 tahun, membuatkan saya kembali menilai masa yang lepas. Bermulanya bila saya mula geram diusik dan dibuli oleh kakak- kakak yang bertuah ni, saya baring untuk melelapkan mata. (Mereka memang suka berganding bahu menyakat saya sebenarnya haih) Tiba- tiba kak aishah menyanyikan sebuah lagu era 70 – 80-an kot sebelum kak aqilah menyampuk. (perbualan adalah secara rasminya dalam loghat melayu kelate’) Saya dengar tapi malas nak layan dah mereka ni.

kak aqilah: ayah dulu nyanyi lagu tu kat *saya*.
kak aishah: yelah, aku tengah nyanyikan untuk dia la nih.
Saya (dengan mata tertutup) : yelah tu…
kak aqilah: betullah. Ayah nyanyi tiap2 malam untuk dodoi *saya* tido. Tak ingat ke?

Saya tidak menyahut, berpura- pura telah terlena. Namun minda yang tadinya mengantuk kembali segar. Ayah pernah nyanyikan lagu untuk saya masa kecil- kecil? Menyanyi? Biar betul. Minda saya tidak dapat memadankan perkhabaran yang baru diterima dengan imej ayah pada mata saya selama ini. Saya meragui periwayat- periwayat itu heh. Waktu itu saya hanya bagi senyuman senget, dan dalam hati menyangkal tidak percaya walaupun yakin cerita itu pasti benar. Namun hari ni barulah mata hati saya celik bahawa segala imej negatif itu bukannya berpunca dari ayah.

Yang bermasalah itu adalah diri saya sendiri!

Saya sebenarnya yang lebih senang mendiamkan diri, lebih banyak tersenyum. Saya lebih biasa bercerita dan habiskan masa dengan ibu dari bersama ayah sewaktu usia remaja. Kerana atas perkara- perkara yang cukup saya seorang tahu, bermula saya di sekolah rendah, di hati saya telah bertekad untuk menghiburkan hati seorang ibu walau bagaimana jua caranya. Sehinggakan saya langsung terlupa betapa akrabnya saya dan ayah sewaktu zaman kecil- kecil dulu. 

AYAH TIDAK PERNAH AMBIL PEDULI

Bila menghabiskan cuti di kampung, ayah tidak meminta saya membantunya di kebun atau mengikutnya berburu di hutan. Itu saya tafsirkan yang ayah tidak mempercayai saya. Berbeza dengan ibu yang akan lembut memujuk saya dengan manisnya senyuman, meminta saya menemaninya hatta ke pasar sekalipun.

Sehingga bila waktunya untuk memilih jurusan untuk melanjutkan pelajaran, saya diberi kebebasan membuat pilihan. Kebebasan yang diberikan ibu saya tafsirkan sebagai tanda memahami. Kebebasan yang diberikan ayah ditafsirkan sebagai tanda tidak peduli.

Mudah bicara, saya terluka dalam diam dengan sikap ayah.

Sepanjang ingatan saya, tiap kali saya menghabiskan cuti di rumah, ayah tidak bertanya bila waktunya cuti saya akan tamat. Saya beranggapan ayah tidak pernah kisah akan keberadaan saya di rumah. Dan tidak ambil peduli untuk membantu mencarikan saya tiket, masakan pula mahu menghantar saya ke destinasi. Hanya ibu yang peduli, membuatkan hanya ibu berada di mata saya.

Suatu ketika sementara menunggu keputusan spm keluar, saya bekerja part- time di kantin sekolah. Membantu memasak (sebenarnya kupas bawang atau golek2 kuih, takpun goreng keropok je sebab tak pandai masak pun actually heh!), menjual makanan dan membasuh pinggan mangkuk. Abang dan kakak- kakak sebelum ini, ayah tak pernah izinkan mereka keluar bekerja. Hanya saya yang berjaya meyakinkan ayah untuk belajar berdikari di samping mengisi masa lapang. Tapi jiwa muda dalam diam beranggapan ayah mengizinkan, kerana ayah kurang menyayangi saya. Ayah tidak pernah ambil peduli. Lalu saya yang kepenatan selepas pulang pada waktu petang tiap- tiap hari, selalu tertidur sementara menunggu solat maghrib dan isyak. Sehingga pernah saya menyuarakan pada ibu, penat dan mahu berhenti kerja. (dalam hati sebenarnya gembira je dapat bekerja, tambahan bila dapat merasa pendapatan hasil titik peluh sendiri), sehinggalah tiba- tiba tauke mendapat tahu niat saya ingin berhenti. Kasih seorang ibu, yang kasihan melihat anaknya ini berpenat lelah.

Tapi saya buta keadaan sebenar.

Hanya ibu di mata saya. Yang menjadi penawar duka lara saya. Sedangkan ayah tidak ambil peduli.

DI SEBALIK DIAM NYA SEORANG AYAH

Sifat diam ayah selama ini, saya tafsirkan sebagai tidak ambil peduli. Di situ kesilapan saya yang terbesar.

Walhal yang sebenarnya yang saya tidak sedar, ayah tidak pernah mahu menyusahkan saya mengikut membantunya di kebun, kerana dia terlalu memahami saya. Dia tahu akan fobia saya terhadap si haiwan kecil makhluk penyedut darah yang lebih ditakuti saya berbanding seekot ular! Ayah pernah menyaksikan saya menangis di kebun buah- buahan hanya kerana digigit seekor pacat. Walaupun kejadian itu dah lama berlaku namun ia tetap kekal di ingatan ayah sehingga ke hari ini. (Buktinya dia telah menghebohkan cerita itu pada atuk dan pakcik kat kampung semasa hari raya aidiladha yang lepas. Mujurlah saya tak ikut pulang ke kampung waktu tu, kalau tak mesti malu percuma)

Dan ayah memberi kebebasan untuk memilih jurusan yang saya minati, kerana ayah memahami yang saya tak serius untuk memilih bidang perubatan. Awalnya ayah berkeras untuk saya teruskan pelajaran dalam jurusan sains, yang mana saya teruskan sehingga di matrik. Hasratnya mahu melihat saya menjadi seorang doktor. Seandainya bukan kerana ketegasan ayah, pasti saya sudah memilih mengambil subjek reka cipta instead of biology sewaktu tingkatan menengah atas. Kecenderungan saya lebih ke arah seni lukis, dan saya lebih berminat dengan pekerjaan kreatif seperti interior designer selain bidang counseling, motivator atau sains marin. Dan saya kecewakan harapan ayah, bila saya menolak tawaran meneruskan bidang perubatan ke rusia dalam temuduga fast-trek tajaan MARA. Walaupun mengharungi semua soalan dengan yakin, entah kenapa biarpun penemuduga berkali- kali cuba memastikan, di pengakhiran dengan yakin juga saya menolak tawaran tersebut. Kali kedua setelah menghabiskan pelajaran di matrik, sekali lagi berurusan dengan penaja untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan di Uni Zagaziq. Tapi kemudian saya mematikan niat, dan menyembunyikan hal tersebut dari pengetahuan ayah. Saya beralasan bahawa jika saya benar- benar serius untuk menyambung bidang medic, maka akan saya teruskan bila sudah berdiri atas kaki sendiri tanpa perlu lagi bergantung pada ayah juga ibu. Sememangnya saya tidak pernah berasa kesal dengan keputusan ini. (Dan sekarang rasanya niat mengambil medik seakan sirna)

Saya buta menilai tindakan ayah tidak pernah bertanyakan pemergian saya bukan kerana tidak ambil peduli akan kebajikan saya, kerana di sebalik keprihatinan ibu, sebenarnya ayah yang meminta ibu bertanyakan bagi pihaknya. Dan seterusnya seperti kebiasaan ayahlah yang sibuk bertelefon ke sana sini, mencari tiket bas pada saat- saat akhir buat anaknya ini. Hanya saya yang tidak tahu… ayah yang sentiasa bersusah memenuhi keinginan saya. Tambahan pula kebiasaan saya yang selalu menghabiskan waktu cuti hanya seketika, terlalu sibuk dengan program itu dan ini.

Saya keras hati menilai kasih ayah. Sehinggalah ibu memberitahu, soal berhenti kerja yang sampai kepada pengetahuan tauke tempat kerja saya (yang juga adalah rakan ayah sebenarnya), bukanlah dari lisan ibu. Tapi sebenarnya dari ayah. Sedangkan saya tidak tahu. Kerana ayah sebenarnya menjenguk di pintu bilik saya setiap petang, saatnya saya tertidur kepenatan. Ayah tidak mahu saya menyusahkan diri walaupun dengan alasan berdikari. Ayah sentiasa bertanya mengenai saya dari ibu, bahkan sebaik saja menjejak pintu rumah. Saat mendengar dari ibu, hati saya mencair. Ego saya meluntur. Saya kesal kerana telah terlalu lama mencurigai kasih sayang ayah. Terasa saya berdosa begitu banyak dengan ayah.

Dan banyak lagi perkara yang pada saya tidak perlu diungkitkan. Yang pasti, imej ayah yang dingin adalah silap saya sendiri. Hanya kerana saya yang mahukan ayah menjadi sempurna. Dan setelah sekian lamanya selepas bertahun- tahun, hari ini baru saya menyedari nilai kasih sayang seorang ayah.

Wahai tuhanku, betapa aku telah menjadi anak yang tidak sedar diri selama ini. Betapa aku berdosa pada ayahku dalam diam dan patuhku. Betapa aku telah melukakan hatinya tanpa aku sedari. Betapa aku mementingkan diri dan buta akan nilai kasih sayang ayah selama ini! Ayah, ampunkanlah anakmu!

Mulianya dirimu ayah,
Mencurahkan limpahan kasih yang tak keterlihatan
Memberi bakti tanpa menyuarakan
Menyintaiku tanpa menagih balasan
Menatahku dengan sempurna sepenuh perasaan
Memerhatikan dan membentukku mencintai titah Tuhan

Betapa selama ini hai Ayah,
Hatiku buta menilai sinar kasihmu
Mataku buta akan pengorbananmu
Aku terlalu sombong untuk menerima tanda cintamu
Keterbatasan akalku menidakkan penjagaanmu yang sempurna
Kosong jiwaku tak mengerti redup sayangmu

Maafkanku ayah!
Saat ini kusedar, titisan air mata takkan bermakna
Kata- kata takkan mampu menebus masa yang telah lama berlalu
Diamku telah lama melukakan jiwamu
Sebaris senyumanku menyeksa dek aku tidak pernah mengerti jiwamu
Saat ini kusedar, betapa telah aku biarkan masa berlalu sia- sia
Maka izinkan aku ayah, untuk membalas limpahan kasihmu
Jika diizinkan Allah, hai ayah, nantikan kepulangan anakmu ini
Selagi jantung masih berdenyut
Selagi nafas masih tersisa di rengkungan

Ya Allah, rupanya aku yang selama ini tidak cukup bersyukur akan nikmat-Mu yang tidak ternilai ini. Berikanlah aku kesempatan untuk menebus kesalahan ini untuk berbakti kepada ayah dan ibuku. Dan ya Allah, setinggi- tinggi pujian juga kesyukuran kepada-Mu kerana menyedarkan aku akan lena yang panjang, sebelum aku kehilangan insan tersayang buat selama- lamanya. Sungguh andai sedemikian terjadi, pasti aku akan menyesal seumur hidupku…

p/s: hargailah insan di sekeliling anda, sebelum anda kehilangan mereka selamanya.

0 comments for this post

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails