Untitled story to be shared.

By farhan ali on 1:31 PM

Filed Under:

"Sesungguhnya org mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yg lbh besar,tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan suatu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut" 

(Riwayat Al-Hakim )


Sudah 2 minggu para pelajar dari fakulti ini memulakan sesi praktikal di pusat- pusat rawatan dan hospital di serata negara. Dan bagi para pelajar tahun tiga yang insyaAllah semakin hampir menamatkan pengajian dalam bidang ini, masing- masing di tempatkan di ICU (intensive care unit) dan wad kanak- kanak (paediatcric) mengikut speciality masing- masing.

Tempoh bertugas di HDW (high-dependancy ward) dan ICU mendedahkan banyak pengalaman dan ilmu baru, apalagi bila bertugas dalam keadaan yang kritikal, sentiasa memerlukan kepantasan fizikal mahupun dalam membuat keputusan apalagi bila berdepan dengan situasi yang mempertaruhkan nyawa pesakit. 90% pesakit tidak sedar ataupun separa sedar, dan hampir kesemuanya tidak dapat bercakap kerana menerima bantuan dari mesin pernafasan (ventilator) yang ditebuk pada tengkuk. 


Situasi ini sangat mencabar kerana perlu menggunakan bahasa isyarat sebagai medium, dan menjadi halangan komunikasi (communication barrier) dalam memenuhi keperluan dan rawatan pesakit. Di awal pendedahan di wad, rasa kesal dan kecewa kerapkali mengganggu emosi bahkan turut terbawa- bawa ke luar sesi rawatan bilamana gagal memahami isyarat para pesakit.



Tangisan Atas Ujian


Suatu pagi, saya menerima serahan kes dari caregiver syif malam. Kes seorang pesakit lelaki melayu, berumur 42 tahun. Pesakit menghadapi beberapa komplikasi yang mengganggu fungsi jantung dan buah pinggang. Semasa mengambil report, kelihatan raut wajah pesakit berkerut lalu saya ajukan pertanyaan pada kakak jururawat yang sudah selesai melaksanakan tugasnya.

“Oh, dia menangis tu. Satu lagi pasal patient ni, kadang- kadang dia menangis. Akak dah tanya tapi dia geleng- geleng. Pujuk pun tak berjaya.”

“Semalam pasang kaset mengaji. Dia menangis. Mungkinlah kot dulu dia pernah buat sesuatu…” seloroh akak tersebut yang mengundang senyum di bibir.

Dalam menjalankan tanggungjawab dan berurusan dengan para pesakit, sememangnya banyak kerenah dan cerita dialami. Banyak pengajaran dan teladan boleh menusuk rasa keinsafan di hati. Menguruskan keperluan pesakit di seawal pagi, saya turut terperasan ada waktu- waktunya pesakit kelihatannya seperti menangis. Dan semasa saya berdiri di sebelah katilnya untuk memberi ubat- ubatan mengikut jadual, sekali lagi mukanya berkerut.

“Kenapa pakcik? Sakit ke?”

Pesakit menggeleng. Saya tidak mahu bertanya lebih lanjut memandangkan pesakit memang tidak dapat bercakap mahupun bergerak, namun kami diajar untuk berkomunikasi sepanjang merawat pesakit dan tidak hanya melayan pesakit seperti tunggul kayu.

“Sedih masuk hospital ya pakcik?” kali ini respon positif diterima, pesakit mengangguk. “Sabarlah pakcik,” sekadar berbicara sambil tangan ligat menyelesaikan tugas, dan sesekali memandang wajah pesakit. “Kesakitan ni merupakan kifarah untuk hapuskan dosa- dosa kita. Even kalau tercucuk duri sekalipun dosa kita akan Allah s.w.t hapuskan.”

Saya tergamam sekejap bila pesakit mula tersedu. Melihat air matanya mengalir, saya teringat kata- kata kakak jururawat pagi tadi. ‘Alamak. Tak sengaja buat orang menangis.’

“Pakcik ada keluarga tak?” tiada respon. Tidak mahu berlebihan menganggu emosi pesakit, tidak mahu kesedihan berlebihan menganggu proses pemulihannya.

“Sabar ye pakcik. Istighfar banyak- banyak. Ok pakcik?” Pesakit mengangguk bersungguh- sungguh sambil memandang anak mata.

Pesakit ini kemudiannya dipindahkan ke wad biasa kerana keadaannya mula stabil. Niat ingin memanfaatkan sesi tugasan hari tersebut untuk  turut memulihkan dalaman pesakit secara perlahan- lahan tidak berkesempatan kerana masa tidak mengizinkan.

Insaf melihatkan keadaan pesakit. Betapa ruginya andai kita hanya tersedar bila waktu sudah terlewat. Dan betapa ruginya andai kita tidak mengambil peluang yang diberikan untuk memohon ampunan Allah sebelum nafas terakhir melewati rengkungan.

Kita sebagai orang islam sememangnya sangat bertuah kerana Allah s.w.t mentakdirkan pelbagai ujian untuk kita harungi, yang mana antara ujian- ujian tersebut turut menjadi penebus dosa- dosa kita. Kita diajar supaya redha, sabar dan bertawakal menyerahkan untung nasib kepada Allah dalam tiap- tiap perkara dan dengan itu, ia memberi kekuatan jiwa pada kita. Semakin dekat hubungan kita dengan Allah, semakin bertambah kekuatan jiwa. Kata kuncinya adalah iman (kepercayaan). Dan iman takkan bertambah sekiranya waktu seharian kita dihabiskan dengan hanya perkara- perkara melalaikan dan lupa pada Allah.


Firman Allah S.W.T dalam Surah Hud


"Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur."
(Surah Hud : 9)


Saya memperhatikan situasi ini yang sangat biasa berlaku di kalangan umat melayu islam yang terlantar sakit di hospital. Sakit yang sepatutnya diinsafi, menjadi penebus dosa namun menjadi yang sebaliknya. Lihat saja berapa ramai pesakit di hospital yang solat semasa terlantar di wad. Dari kajian didapati hanya sekitar 20% yang menunaikan kewajipan solat, dan itu pun tidak penuh. Dan sepanjang pemerhatian tiga tahun bertugas di hospital- hospital di sekitar ibu negara, tidak sedikit bilangan yang meremehkan solat. Walhal kelihatannya sihat dan punyai kudrat. Baik yang tua mahupun muda. Berapa ramai pula yang berputus asa dan menyalahkan takdir? Berapa ramai yang tidak redha dengan ketentuan Allah?

Astaghfirullah.


Bila Ujian Menjadi Besar dari Sang Pemberi Ujian


Nau'dzubilllah!

Inilah realiti masyarakat islam hari ini. Kesakitan itu dinilai lebih besar dari Tuhan. Ujian yang diberi untuk meningkatkan darjat ke tingkat yang lebih tinggi disalahertikan dan akhirnya menjadi tiket untuk dihumban ke tingkat neraka yang paling bawah.

Ada perkara yang mampu ditanggung manusia. Dan banyak perkara yang kita sebagai manusia TIDAK LAYAK untuk takbur menahan beban yang nyata berjuta kali ganda melebihi kudrat diri. Bertawakal dan berserah diri pada kuasa yang Maha Kuat itulah yang terbaik dan menjadi penerus harapan kita. Inilah kelebihan yang diberikan pada orang yang beriman berbeza pula dengan orang- orang yang tidak beriman. Seorang lelaki cina berumur 80-an yang dirawat pernah meminta pil panadol dari doktor untuk membunuh diri. Benar. Mahu membunuh diri di hospital, kerana putus asa dengan kesakitan yang ditanggung. Dia tidak bergantung pada ‘Tuhan’nya, apalagi percaya untuk berdoa memohon bantuan.

Dari setiap ujian ada hikmahnya yang tersembunyi. Setiap apa yang telah ditentukan maka itulah yang terbaik untuk kita kerana Yang Maha Menentukan itu Maha Mengetahui segala sesuatu. Maka janganlah sifat sakit itu menjauhkan diri kita dari rahmat Allah, dan jangan pula ia turut menjadi tiket kepada rasa sakit azab di akhirat kelak.

0 comments for this post

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails