Jangan menjadi fitnah kepada agama (imej)

By farhan ali on 1:24 AM

Filed Under: , , ,



Dalam suatu usrah besar yang dihadiri para pelajar dari pelbagai jurusan, pada suatu petang kami mengulas isu  wanita muslimah, isu cabaran juga tekanan yang dihadapi pada masa kini. Setiap yang hadir disoal akan pandangan masing- masing akan erti muslimah, dan perlu menjawab dengan rela mahupun separa rela akan erti menjadi muslimah pada diri masing- masing. Ada yang kelihatan yakin, ada yang kelihatan segan dan ada juga yang mempamerkan wajah tidak berperasaan.

Soalan yang berbentuk subjektif ini yang pastinya tiada betul atau salah, bahkan ia lebih kepada pemahaman individu. Dan yang lebih pasti ciri ideal seorang muslimah itu adalah yang menepati syariat dan tuntutan agama Islam baik dari segi pengamalan dan ibadat, akhlak dan pergaulan, penutupan aurat dan seumpamanya.
Perbincangan yang terbuka ini kemudiannya meleret kepada isu- isu yang lain termasuk dalam isu bagaimana seorang muslimah itu sendiri bisa menjadi fitnah kepada agama.



“Jangan sehingga kita menjadi fitnah kepada agama!”


Nadanya cukup tegas, dan ketegasan pada raut wajahnya cukup membakar semangat diri. Benar sekali, bahkan secara peribadinya, ini sepatutnya yang menjadi prinsip asas pada setiap yang mengaku beragama Islam. Jangan hanya kerana kita, maka agama ini dipandang serong. Buruk sekali, apabila di akhir zaman ini, sehinggakan pelbagai fitnah dan kerosakan dilakukan pada agama tanpa dapat dihalang- halang. Manusia terlalu jauh terpesong dalam mengejar alat, sehinggakan natijahnya kehilangan matlamat. Sudah terlupa apa sebenarnya tujuan diri diciptakan akibat dilalaikan oleh harta duniawi. Sedangkan Allah telah berfirman dalam surah az-Zariyat di ayat ke-58 untuk mengingatkan manusia yang sering terlupa.



“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”



Namun begitu bagaimana pula yang setepatnya dirujuk fitnah kepada agama? Adakah dengan mengamalkan dan menyebarkan perkara- perkara yang kurang tepat perihal agama? Atau dengan menafsirkan dan mengguna pakai hukum- hukum agama mengikut keselesaan dan fahaman sendiri sepertimana yang berlaku pada zaman sekarang; yakni manusia mengambil islam separuh dan membuang separuhnya yang lain? Kalau itu yang dimaksudkan dengan fitnah kepada agama, maka ia adalah isu yang sudah lama diberi perhatian. Isu lapuk dan basi sedangkan pelbagai usaha dan jalan membasminya melalui jalan demi jalan nan buntu. Umpama daki yang melekat pada dinding berlumut, degilnya tak tertanggalkan. Bagaimana mungkin diselesaikan andai Barat juga yang dipandang disanjung sebagai hero baik dari sisi orang perseorang mahupun sehingga kepada kerajaan. Agama dipisahkan dari kehidupan.

Namun agakan itu ternyata melencong 45 darjah.

Aspek yang halus sebenarnya yang mahu dicungkil dan dibaiki, aspek yang boleh diubah bermula dari dalam diri seseorang individu itu sendiri. Aspek kendiri, aspek imej seharian yang cukup bermanfaat untuk diulas dan dititkberatkan bagi yang mahu mengambil inisiatif memperbaiki diri.



“imej yang comot, yang selekeh, itulah yang menjadikan kita memfitnah agama sendiri!”



Inilah yang kadang- kadang diabaikan oleh tentera- tentera Allah  yang berikrar mengangkat pedang di medan perang. Sudut- sudut sensitif sebeginilah yang diserang oleh hati- hati yang mahu menyukarkan manusia lain dari jalan Allah. Imej seorang mujahidah itu dicalar dengan pelbagai label dan persepsi negatif sehingga ia mengelabui mata- mata hati yang masih kabur mencari jalan terang.

Kita adalah role model kepada generasi pelapis, dan siapa lagi role model yakni qudwah hasanah yang paling terutama andai bukan Nabi Muhammad s.a.w. Tegakah kita, sanggupkah kita mencalar kejituan dakwah Rasul Allah hanya dengan menonjolkan imej yang tidak sepertinya? Hadith ke-23 dalam kitab Hadith 40 yang menyatakan kebersihan itu sebahagian dari iman. Dari Abi Malik al-Harith bin Asim al-Asyari r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:


الطهور شطر الإيمن. والحمد لله تملأ الميزان. وسبحان الله والحمد لله تملآن – أو تملأ – ما بين السماء والأرض. والصلاة نور. والصدقة برهان. والصبر ضياء. والقرآن حجة لك او عليك. كل الناس يغدو، فبائع نفسه. فمعتقها او موبقها.



Maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman, alhamdulillah memberatkan timbangan, subhanallah dan alhamdulillah, kedua- duanya memenuhi ruang antara langit dan bumi. Solat itu adalah nur, sedekah itu adalah bukti, sabar itu adalah sinaran dan al-Quran itu adalah hujah (untuk membela atau menentang). Setiap manusia bekerja; maka ada yang menjual dirinya dan ada yang membebaskan dirinya dengan bekerja keras untuk keselmatan atau kecelakaannya.
(Riwayat Muslim no. 223 dan al-Tirmizi no.3517)



Allah s.w.t turut menyatakan kecintaan-Nya pada tiap hamba-Nya yang suci batiniah dan lahiriah, dan Dia berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah 2:222


“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat,
dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”


Kebersihan itu sebahagian dari iman, sebagai pokok dan kaedah penting dalam ajaran Islam.  di mana iman dan akhlak itu saling berkait. Imej yang segak dan bersih menonjolkan akhlak sang pemerinya, bukankah begitu? Dari imej kita menyimpul  first impression pada seseorang, and we DO judge a book by its cover. Fikir- fikirkanlah (:



"ان الله جميل يحب الجمال"
Sesungguhnya Allah itu cantik, lagi menyukai kecantikan.



Moga bermanfaat.

P/s:  Seruan menjaga kebersihan dan kekemasan adalah umum kepada ikhwan dan akhawat, namun kepada akhawat pastikan kita tidak melampaui garis- garis tabarruj. Tak perlu menjadi patung fesyen manik labuci dan tak perlu menjadi pelakon opera cina ok!

0 comments for this post

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails