Wahai penyebar kalam fitnah, berhentilah!

By farhan ali on 10:38 AM

Filed Under: , ,

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Hudzaifah r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak akan masuk syurga tukang fitnah." Diriwayatkan juga dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apakah kamu tahu siapakah sejahat-jahat kamu?" Jawab sahabat: "Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. yang lebih tahu."Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sejahat-jahat kamu ialah orang yang bermuka dua, yang menghadap kepada ini dengan wajah dan datang kesana dengan wajah yang lain."

         Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abbas r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w. berjalan melalui dua kubur yang baru ditanam, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya kedua kubur ini sedang disiksa dan tidak disiksa kerana dosa besar, adapun yang satu maka tidak bersih jika cebok dari kencingnya dan yang kedua biasa berjalan membangkitkan fitnah. KemudianRasulullah s.a.w. mengambil dahan pohon yang hijau lalu dibelah dan menancapkan diatas kubur masing-masing. Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, mengapakah engkau berbuat itu?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Semoga Allah s.w.t. meringankan keduanya selama dahan ini belum kering."

***************************************

Buat kesekian kalinya, jemari digagah menggugahkan kalam . Ada yang mendesak supaya mencatat buah rasa sebagai pemerhati luaran dunia, moga- moga bisa jadinya fikiran yang tidak seberapa ini dapat sahaja titipannya menjadi peringatan dan teguran buat yang dapat menerima.

Di sebalik suntuknya masa yang ada, ruang dicari untuk melawat mengambil tahu khabar teman- teman realiti dan maya. Membaca buah fikiran mereka, menilai baik dan buruk cukup dalam proses mengenali diri mereka. Situasi yang berbeza, juga cara kita menilai sesuatu perkara adalah berbeza walau kadang- kadang terdapat persamaan meletakkan diri saya tidak pada tempat layaknya untuk memberi hukuman. Apalagi perjalanan dan proses pembelajaran diri ini masih lagi di garis permulaan, dan tempoh waktu dua dekad ini belum cukup untuk mengenali manusia.

Satu yang saya tidak setuju, proses tuding menuding jari kini sangat kritikal. Sifat saling menyalahkan sesama sendiri, mahu menjulang kalah dan menang, saling membuka aib sendiri semakin berleluasa. Apalagi bila ia berlaku dalam kalangan orang melayu sendiri, sangat menyedihkan. Bila masing- masing bertelagah demi kepentingan peribadi masing- masing, umpamanya dua tangan yang saling bercakaran mengoyak daging pada satu tubuh. Binasanya tubuh itu, bukankah juga keduanya akan hilang upaya? Ini yang terjadi bila kepala yang dijunjung tidak boleh dimanfaat akalnya. 

Sia- sia.

Ironinya, saya yang lemah ini sedang melihat umat seagama dan sebangsa sedang bertelagah, dan pihak musuh sedang ketawa berdekah- dekah di sebelah. Hanya menanti tuan- tuan tanah lemah sebelum mengangkat kaki memijak kepala mereka tanpa perlu adanya usaha berlebihan selaku penjajah. Umpamanya angin perang saudara sedang bertiupan di seluruh negara. Bahangnya semakin menyala dari hari ke hari.

Tidak cukup dengan orang- orang yang memegang amanah sebagai amirul ummah bercakaran, para pengikut pula tidak kurang mencucuh api menambah marak nyalaan. Sifat asabiyyah ditinggi- tinggikan, hubungan kekeluargaan, persahabatan berpecah- belah.

Yang tidak tahu pun turut galak ingin bercakap, berlagak serba tahu melebihi orang- orang berilmu. Sedang dalam masa yang sama, orang yang berkepakaran dileceh- remehkan dan kata- kata mereka dipetik- putarkan supaya menjadi bahan pemarak api. Segala jenis saluran media digunakan baik peribadi mahupun umum, menyebarkan buah fikiran sendiri menyalahkan pihak itu dan ini. Percaya pada berita- berita fitnah tanpa memeriksa kesahihannya, adalah satu sikap yang memudaratkan.

Ini adalah musibah. Musibah besar, apalagi pada zaman yang mana belenggu fitnahnya seumpama debu- debu yang berterbangan yang bisa hinggap di kulit dan tidak dapat dielakkan.

Sebenarnya apa yang kita mahu perjuangkan?

Apa kepuasannya melihat saudara seagama sebangsa sendiri bertelagah?

Wahai umat islam, jangan sampai tajam penamu semberono mencantas leher saudaramu sendiri!

sumber gambar

…dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh…
(al-Baqarah: 191)

0 comments for this post

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails